mutakhir

Nak sangat iPhone Xs Max...

Oleh Shahrinnahar Latib

DISEBABKAN terlalu inginkan model telefon pintar terbaru, iPhone Xs Max, penyelia kerugian RM10,490 selepas diperdaya seorang lelaki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula 3 Oktober lalu selepas teman wanita mangsa memberitahunya mengenai iklan jualan iPhone Xs Max di aplikasi WeChat oleh pengguna bernama Scott.

Katanya, teman wanitanya menyatakan hasrat untuk membeli dua telefon pintar itu dan mangsa yang berusia 20 tahun membuat pembayaran secara dalam talian, dua hari kemudian selepas menerima nombor akaun daripada suspek.

“Bagaimanapun sehingga kini Scott gagal dihubungi dan mangsa tidak menerima telefon pintar itu seperti yang dijanjikan.

Dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kelmarin,” katanya di Luantan, hari ini.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata, seorang peniaga berusia 40 tahun turut ditipu sindiket menawarkan pinjaman tidak wujud pada 4 Oktober lalu.

Katanya, mangsa membuat pinjaman berjumlah RM10,000 selepas melihat satu iklan daripada syarikat Nova Sdn Bhd di Instagram dan berurusan dengan seorang wanita.

“Wanita itu meminta mangsa menghantar salinan kad pengenalan dan bil elektrik melalui WhatsApp sebelum memaklumkan pinjamannya diluluskan dengan bayaran ansuran bulanan berjumlah RM169.05 selama tujuh tahun,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa diminta membuat pelbagai bayaran termasuk kos peguam, duti mahkamah dan cukai yang tidak munasabah sebelum menerima wang pinjaman itu.

“Selepas membuat pembayaran berjumlah RM3,050, mangsa diminta menunggu sejam sebelum wang terbabit dimasukkan ke akaunnya, tetapi hingga kini wang pinjaman itu tidak diterima,” katanya.

Katanya, laporan polis dibuat mangsa di IPD Kuantan dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 2:35pm
d