mutakhir

Tiada bas, tiket Piala Malaysia percuma

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

DEWAN Pemuda PAS Terengganu menafikan mesej yang tular berhubung penyediaan bas dan tiket percuma untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia, kepada setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Terengganu.

Ketuanya, Kamaruzaman Abdullah berkata, kenyataan yang tular di WhatsApp dan Facebook itu disebarkan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap keterujaan warga negeri ini selepas Terengganu layak mara ke final Piala Malaysia akhir bulan ini.

Beliau yang juga Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) berkata, pihaknya dikejutkan dengan pertanyaan bertalu-talu menerusi telefon dan WhatsApp berhhubung kesahihan perkara itu yang mula tular sejak pagi ini.

"Apa tujuan mereka buat begini? Kita kesal kerana Dewan Pemuda PAS tidak ada mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara ini, apatah lagi ia turut membabitkan Menteri Besar (MB), Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Adalah sangat tidak masuk akal untuk MB menyediakan bas dan tiket percuma untuk setiap MPKK seperti dalam mesej yang tular itu, kerana di Terengganu sahaja kita ada lebih 1,000 MPKK.

"Justeru adalah tidak logik untuk MB menyediakan lebih 1,000 bas untuk membawa penyokong menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia pada 27 Oktober nanti," katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kenyataan media yang tular itu, Dewan Pemuda PAS negeri dilaporkan menyambut baik inisiatif Menteri Besar Terengganu menyediakan bas dan tiket percuma kepada setiap MPKK di seluruh negeri untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia.

Kenyataan itu turut menyebut Dewan Pemuda PAS di semua kawasan dan Majlis Tindakan DUN (MTD) negeri sedia bekerjasama dengan MPKK dan i-MITS bagi menjayakan hasrat itu.

Kamaruzaman berkata, sebarang kenyataan mengenai kemungkinan menyediakan bas atau tiket percuma hanya akan dikeluarkan oleh Menteri Besar atau Exco berkaitan.

"Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Terengganu (TFC), Hishamuddin Abdul Karim juga pelik dengan kenyataan ini kerana pihaknya hanya dijadualkan bermesyuarat esok untuk berbincang mengenai perkara ini," katanya.

Dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor, malam tadi, TFC melenyapkan impian Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas mencatat keputusan seri 2-2.

Kemenangan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu membolehkannya mara ke final Piala Malaysia bertemu Perak atau Sabah.

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 3:50pm
d