mutakhir

Kuat semangat Norfarahatun

Oleh Norzamira Che Noh

LUMPUH dari pinggang ke kaki sejak berusia tiga tahun akibat demam panas tidak mematahkan semangat graduan, Norfarahatun Husna Mohd Saleh Hudin menggenggam Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan.

Graduan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berusia 27 tahun itu berkata, beliau bersyukur kerana sentiasa disokong oleh dua adik serta kawan-kawan yang akan membawa beliau menghadiri kuliah serta berjumpa dengan pensyarah sekiranya ada perbincangan.

"Saya bersyukur kerana dikelilingi orang yang sangat baik termasuk pensyarah penyelia untuk ijazah sarjana saya.

"Sepanjang tempoh pengajian, saya dan penyelia iaitu Dr Siti Asiah Md Shahid banyak berhubung melalui e-mel dan WhatsApp kerana beliau memahami keadaan saya yang terpaksa berulang alik dari Kampung Gajah, Perak, tambahan pula saya ke sini dengan menaiki pengangkutan awam," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen ke-89 UiTM di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, keadaan kesihatan ibu dan bapanya yang tidak menentu juga menjadi pembakar semangatnya untuk terus berjaya.

Sementara itu, Dr Siti Asiah menyifatkan Norfarahatun Husna sebagai penuntut yang kuat semangat serta sentiasa positif.

"Saya kagum dengannya, walaupun pelbagai dugaan yang diterima termasuk ibu bapanya yang tidak sihat serta pergerakannya yang terbatas beliau berjaya menggenggam ijazah sarjana pada hari ini.

"Saya juga sedar mengenai keadaannya dan cuba meminimumkan perjumpaan sebaliknya banyak berhubung melalui emel. Saya bangga dengannya, justeru hari ini saya hadir untuk memberikan sokongan kepadanya kerana ibu bapanya tidak dapat hadir," katanya.

Seramai 2,148 graduan menerima anugerah masing-masing daripada Pro-Canselor, Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah Abdullah dalam dua sidang istiadat konvokesyen itu hari ini.

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 4:50pm
d