mutakhir

'Mujur jiran sangat memahami...'

Oleh Amran Yahya

“Saya terpaksa menumpang rumah jiran untuk makan dan membersihkan diri,” kata Mohd Shah Yusof, 73, yang tinggal seorang diri di rumah buruk yang terbengkalai pembinaannya di Kampung Kuala Dioh, Kuala Pilah.

Warga emas yang tidak berkahwin itu terpaksa menetap di rumah yang tiada pintu, tingkap dan tandas itu sejak 21 tahun lalu kerana tiada sumber kewangan mencukupi bagi menampung kos pembinaan.

“Rumah ini tidak sempurna. Lantai simen pun tiada, saya hanya lapik papan dan tikar untuk tidur. Bekalan air dan elektrik juga tiada malah atap juga terlalu usang dan mengalami kebocoran.

“Setiap kali hujan, saya terpaksa menumpang berteduh di rumah jiran. Mujur mereka sangat memahami kesusahan saya dan sudi membantu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Pilah.

Katanya, jirannya membenarkan dia menggunakan rumah mereka untuk berehat, makan, mandi dan membuang air namun dia terpaksa pergi ke tempat lain jika jirannya itu tiada di rumah.

“Biasanya, jika jiran tiada di rumah, saya terpaksa menggunakan tandas di tanah perkuburan Islam yang terletak berhampiran,” dakwanya yang menerima bantuan bulanan makanan daripada Baitulmal.

Mohd Shah berharap, ada pihak sudi membantunya melengkapkan pembinaan rumah itu kerana dia tidak mempunyai sumber pendapatan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Empat, Sawah Lebar, Kamarudin Idris berkata, pihaknya memberi perhatian serius terhadap masalah yang dihadapi Mohd Shah.

“Saya sudah menerima laporan daripada Biro Kebajikan MPKK Simpang Empat, Sawah Lebar, Zarina Zakaria, mengenai masalah dihadapi Mohd Shah.

“Kita akan berusaha membantu menyelesaikan masalah Mohd Shah supaya dia dapat hidup lebih selesa,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 5:11pm
d