mutakhir

Pembantu awam dituduh rasuah [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PEMBANTU awam Pejabat Renjer Hutan Ajil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM500, kira-kira lima tahun lalu.

Tertuduh, Suhaimee Wan Mohamad, 35, mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang penjawat awam menerima wang tunai berjumlah RM500 daripada pemilik syarikat Karyan Khas Enterprise dengan tiada balasan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Cawangan Kuala Terengganu di Jalan Sultan Ismail, 1.38 petang 23 Mei 2013.

Suapan itu sebagai balasan supaya kerja-kerja pembalakan di kawasan Hutan Simpan Hulu Terengganu yang dilakukan oleh syarikat berkenaan tidak diganggu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, mahkamah menetapkan 12 November depan sebagai tarikh semula kes dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Shahidah Muslimah Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 7:54pm
d