mutakhir

Rakyat dah aman - PM

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

LANGKAH drastik kerajaan menangani isu berkaitan rasuah dan penyelewengan kerajaan terdahulu semakin menunjukkan kesan positif kepada kehidupan rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, beliau melihat rakyat kini semakin merasa bebas dan tidak tertekan di bawah pemerintahan kerajaan baharu berbanding kerajaan terdahulu memerintah.

“Dulu kalau tak sokong kerajaan dan menyokong pati lawan, mereka akan dilawati Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dikenakan bayaran cukai tambahan yang kadang-kadang mencecah sehingga RM90 juta. Ini tak ada asas langsung.

“Tapi kalau tak bayar akan pergi ke mahkamah, perniagaan mereka akan dibekukan dan wang mereka dalam akaun bank dibekukan dan tak boleh berniaga. Mereka berasa tertekan .

“Dulu rakyat amat takut nak dekat dengan parti lawan. Tapi sekarang tidak ada lagi perasan itu sebab mereka bebas untuk berkawan. Tiada lagi tuntutan tambahan LHDN dan lawatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bual Bicara Malaysia Baharu Eksklusif Bersama Tun M yang disiarkan Astro Awani, malam ini.

Dr Mahathir turut berkata, rakyat terutama golongan peniaga juga tidak mengadu dan mendakwa kerajaan yang baharu ini kerajaan rasuah.

“Ia sudah tidak kedengaran lagi. Kalau ke luar negara, tak ada orang tanya lagi apa jadi dengan negara kamu. Dengan tukar kerajaan, kita juga membanteras rasuah.

“Rasuah sudah hampir tidak ada kerana orang takut undang-undang yang kita gubal dan kita tubuh badan tertentu yang tumpu membanteras rasuah,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 10:31pm
d