mutakhir

Undang malapetaka

Oleh Shaarani Ismail

Ipoh: Pembangunan tidak terkawal di kawasan cerun atas nama pembangunan di kawasan Cameron Highlands menjadi penyebab utama kejadian tanah runtuh yang kebelakangan ini sering dilaporkan berlaku di kawasan peranginan tanah tinggi itu.

Selain aktiviti pembangunan, kesan penerokaan tanah tidak terkawal tanpa mengambil kira impak terhadap alam sekitar juga menjadi antara punca beberapa kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan tanaman sayur malah ada antara kejadian turut mengakibatkan kehilangan nyawa.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), R Ramakrishnan berkata, meskipun beberapa siri kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku, namun kerja pembinaan di kawasan cerun di sekitar kawasan Cameron Highlands ditambah dengan aktiviti pertanian tidak terkawal yang berlaku dilihat memburukkan lagi keadaan.

“Pembangunan yang kini pesat di Cameron Highlands langsung tidak mengambil kira jumlah penduduk yang boleh ditampung di kawasan ini kerana mempunyai kawasan sangat terhad.

“Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri sebelum ini sudah menetapkan jumlah penduduk yang boleh ditampung di Cameron Highlands adalah seramai 50,000 orang dan kita boleh lihat apa yang berlaku ketika ini ia sudah pun melebihi had.

“Apabila ia melebihi had, kita mengundang bencana kerana pembangunan yang berlangsung tidak mengambil kira had yang ditetapkan dan menyedihkan, kebanyakan projek pembangunan di sini juga bukan mampu milik dan bukan dibangunkan untuk penduduk tempatan,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin menegur pihak yang melakukan kegiatan pembangunan tidak teratur dan menebang pokok secara tidak teratur sehingga berlaku malapetaka susulan kejadian tanah runtuh di Pulau Pinang dan mengakui masalah yang berlaku di Malaysia ketika ini adalah akibat terlalu banyak kegiatan pembalakan hingga kerap berlaku tanah runtuh di kawasan bukit.

Pada 14 Oktober lalu, tiga pekerja kebun maut selepas rumah kongsi didiami tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batu 49, Kampung Tiga, Kuala Terla, dekat Cameron Highlands, bagaimanapun Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan kejadian tanah runtuh itu berpunca daripada hujan lebat, bukan aktiviti penerokaan tanah.

Ramakrishnan berkata, apa yang menyedihkan pihak berwajib dilihat tidak memandang serius dengan pelbagai isu dan permasalahan yang berlaku hingga mengakibatkan kejadian sama sering berulang sedangkan REACH berulang kali menyatakan bahawa masalah yang disuarakan adalah sangat serius.

“REACH mengharapkan pihak berwajib mengubah cara pemikiran mereka dalam menangani isu dan permasalahan yang berlaku ini kerana ia bukan benda yang baharu.

“Kami tidak mahu perubahan hanya berlaku apabila berlaku bencana kerana apa yang sepatutnya kita lakukan adalah dengan menangani masalah yang berlaku sejak dari awal,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 10:59am
d