mutakhir

Bagai pesta di bendang

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

AKTIVITI ‘berkubang’ atau menangkap ikan selepas musim menuai padi di bendang sawah, menjadi satu kemestian dan amat dinantikan oleh penangkap ikan.

Pekerja kilang batu bata, Aznan Abd Hapil, 35, berkata, selepas musim menuai padi setiap dua kali setahun, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk bersama penduduk kampung menangkap ikan di bendang berhampiran.

Bapa kepada seorang anak ini berkata, ketika musim menuai padi, air di terusan sawah serta parit menjadi cetek dan pelbagai spesis ikan air tawar dan sungai seperti keli, haruan, lampang barau, patin, serta talapia merah mudah diperolehi.

“Untuk menangkap ikan, kebanyakan orang lain menggunakan serkap, tetapi bagi saya menggunakan tangan adalah lebih mudah dan cepat kerana boleh merasai sendiri apabila ikan mula masuk ke dalam genggaman.

“Hasil yang diperoleh tidak menentu, bergantung kepada nasib. Kadangkala saya pernah mendapat sehingga 12 kilogram (kg) ikan air tawar pelbagai spesis,” katanya ketika ditemui di Ladang Merdeka, Mulong, Kota Bharu.

Mohd Aznan berkata, hasil tangkapan yang diperoleh akan dipelihara dulu sebelum dijual kepada penduduk setempat dengan harga RM5 untuk sekilogram ikan.

“Sepanjang pengalaman saya menangkap ikan air tawar di kawasan bendang, pernah sekali saya terkena bisa ikan keli dan sejak itu sentiasa berhati-hati apabila menangkap ikan menggunakan tangan,” katanya.

Sementara itu, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 1, Adam Akmal Azhar, 12, berkata, setiap kali selepas musim menuai, dia akan mengikuti ayahnya, Azhar Mamat, 43, ke bendang untuk menangkap pelbagai spesies ikan.

“Saya dan ayah datang ke bendang ini untuk menangkap ikan sejak tiga hari lalu dan kami menggunakan serkap. Pelbagai spesis ikan yang diperolehi termasuklah haruan dan puyu.

“Pada hari pertama, ia ibarat pesta kerana ramai penduduk kampung dan kanak-kanak berkubang di dalam bendang untuk mencari ikan dan mereka mempunyai cara tersendiri untuk menangkap ikan menggunakan peralatan yang dibawa,” katanya.

Adam Akmal berkata, selepas selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), dia mengisi masa lapang dengan menangkap ikan yang menjadi hobinya.

“Ikan yang saya tangkap bukan untuk dijual, tetapi dibawa balik ke rumah untuk dimasak oleh ibu dan dimakan bersama keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 11:42am
d