mutakhir

Bekas pengasuh terlepas hukuman penjara

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

BEKAS pengasuh kanak-kanak menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan hukuman penjara enam bulan ke atasnya bagi pertuduhan cuai hingga menyebabkan anak asuhannya yang berusia sembilan bulan melecur di badan, tahun lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan demikian terhadap Siti Aishah Abu Bakar, 31, selepas meneliti rayuan dan hujahannya selaku perayu yang diwakili peguam Mohd Firdaus Mahmood ke atas hukuman yang dijatuhkan pada 15 Januari lalu.

Mohd Nazlan bagaimanapun mengekalkan hukuman denda RM10,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu.

Selain itu, dia dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dan diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam.

Mohd Nazlan pada penghakimannya berkata, mahkamah mengambil maklum berkenaan fakta kes bahawa perayu meletakkan sup panas di atas meja dan meninggalkannya sehingga mangsa mencapai sup itu.

“Mahkamah mendapati hukuman penjara adalah tidak sesuai dan berpendapat hukuman denda dan bon berkelakuan baik serta khidmat komuniti 200 jam sebelum ini adalah memadai.

“Oleh itu, hukuman penjara enam bulan diketepikan manakala hukuman lain kekal,” katanya.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Hafizah Rajuni bertindak sebagai responden.

Pada 15 Januari lalu, suri rumah itu mengaku salah atas pertuduhan dengan sengaja melakukan kecuaian ke atas kanak-kanak lelaki yang ketika itu berusia sembilan bulan sehingga menyebabkan kecederaan iaitu melecur 19 peratus anggota badan dan muka.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, pada 12.30 tengah hari, 9 Disember 2017.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 3:36pm
d