mutakhir

Didakwa bunuh bapa

Oleh Shaarani Ismail

LELAKI dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari atas tuduhan membunuh bapanya, awal bulan ini.

Tertuduh, You Poh Khoon, 52, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Poh Khoon yang juga penganggur didakwa membunuh bapanya, You Su Kim, 74, antara jam 9.30 pagi hingga 1.30 tengah hari di kediaman mereka di Kanthan Baru dekat Ipoh, pada 9 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Zuraidah Mohd Noor.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemerhatian selama sebulan.

Kes disebut semula pada 16 November depan.

NSTP sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga emas dibunuh kejam dengan dikerat enam bahagian termasuk kepala dipenggal.

Anggota badan mangsa ditemui di dua lokasi berbeza iaitu dalam sebuah tangki kumbahan sedalam 1.5 meter serta lubang yang digali di belakang rumah.

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 4:38pm
d