mutakhir

TV3 mohon maaf kepada Anwar malam ini

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

SISTEM Televisyen (M) Berhad (TV3) akan menyiarkan permohonan maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam slot Buletin Utama malam ini selepas kes saman fitnah dikemukakan Presiden PKR terhadap syarikat penyiaran itu selesai secara baik.

Permohonan maaf sama akan diterbitkan Utusan Melayu (M) Berhad yang turut dinamakan sebagai defendan dalam akhbar Utusan Malaysia sebelum 2 November ini.

Pada 28 September lalu, bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh Datuk Dr Mazlan Ismail yang dinamakan sebagai defendan pertama dalam kes sama, membacakan pernyataan maaf di Mahkamah Tinggi selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan tuntutan saman itu secara baik.

Kes saman fitnah itu membabitkan kenyataan yang didakwa Anwar mengaitkan dirinnya terbabit dengan rasuah membabitkan Badan Kehakiman dan Pejabat Peguam Negara.

Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin merekodkan penghakiman persetujuan bahawa TV3 dan Utusan Melayu selaku defendan kedua dan ketiga, mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan yang didakwa memfitnah.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Anwar ketika ditemui selepas prosiding, berkata ketiga-tiga defendan bersetuju membayar kos sebanyak RM130,000.

Dalam prosiding hari ini, TV3 diwakili peguam Lim Qi Si manakala peguam Azhar Arman Ali bertindak bagi pihak Utusan Melayu.

Pada 15 Oktober 2015, Anwar memfailkan saman itu dengan mendakwa ketiga-tiga defendan mengaitkan beliau dengan rasuah membabitkan hakim dan pendakwa raya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa, Mazlan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam satu sidang media dan kemudian disiarkan TV3 melalui Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos 2013 dan turut diterbitkan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.

Anwar mendakwa, perkataan fitnah itu membawa maksud beliau seorang yang tidak beretika, terbabit dalam rasuah, melakukan aktiviti berunsur jenayah, tidak jujur dan tidak bermoral.

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 5:10pm
d