mutakhir

Tunggu laporan bedah siasat kedua - Polis

Oleh Safeek Affendy Razali

POLIS masih belum menerima laporan bedah siasat kedua terhadap jasad bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pada masa ini pihaknya masih menunggu laporan penuh hasil bedah siasat kedua itu.

“Setakat ini, kita masih belum menerima laporan berkenaan dan tidak dapat mengesahkan sama ada keputusan itu akan keluar dalam masa terdekat atau sebaliknya.

“Apabila pihak kami (polis) sudah menerima laporan berkenaan, siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian Nazrin,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Dalam pada itu, Mazlan enggan mengulas lanjut mengenai sebarang penemuan bukti atau petunjuk baharu dalam kes berkenaan

Katanya, semua pihak perlu menunggu sehingga keputusan bedah siasat kedua dikeluarkan.

Nazrin ditemui mati di rumahnya di Kota Damansara pada 14 Jun lalu, dalam keadaan 30 peratus tubuh badannya terbakar.

Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut iaitu akibat kebakaran.

Bagaimanapun, polis mengklasifikasikan kes itu semula sebagai kes bunuh selepas menemui kesan petrol di bilik tidur si mati.

Pada 1 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan polis untuk menggali semula kubur Nazrin untuk bedah siasat kedua.

Selepas proses berkenaan, jasadnya kembali ditanam di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, pada 15 Oktober lalu.

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 5:10pm
d