mutakhir

UM akan jelaskan isu kenaikan yuran

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

UNIVERSITI Malaya (UM) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kontroversi kenaikan yuran pengajian dalam waktu terdekat.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya sudah berhubung dengan universiti terbabit bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu berkenaan.

"Saya sudah berhubung dengan Naib Canselor (UM) dan difahamkan, pihak universiti akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu itu dalam sedikit masa lagi," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataannya sebelum ini, Maszlee berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan UM berhubung isu berkenaan.

Katanya, dalam beberapa perkara berkaitan dengan universiti awam, mereka (UM) mempunyai autonomi berkaitan yuran.

Khamis lalu, sekumpulan penuntut UM mendakwa kenaikan yuran pengajian itu dilakukan tanpa sebarang notis awal atau surat pekeliling kepada mahasiswa.

Kumpulan dikenali sebagai Suara Siswa dan mewakili penuntut dari pelbagai fakulti itu mendakwa UM menaikkan yuran sebanyak RM50 untuk penuntut tempatan dan RM3,000 untuk penuntut luar negara.

Mereka mengesyaki berlaku perlanggaran kontrak kerana difahamkan universiti awam berdepan pemotongan bajet selain mendakwa pentadbiran UM gagal membalas memorandum ditandatangani oleh 6,000 penuntut.

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 5:56pm
d