mutakhir

Gali kubur pun bawa syabu?

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

PENGGALI kubur dipenjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki syabu di sebuah tanah perkuburan Islam, Ogos lalu.

Majistret Haslinda A Raof menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Nawas Mahmud, 31, dan memerintahkan ia berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Md Nawas didakwa memiliki 0.06 gram methamphetamine di Kampung Baru, Hulu Langat, jam 6.20 petang, pada 13 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Md Nawas yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman denda minimum.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dijatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran

Mengikut fakta kes, anggota polis melalui operasi ‘Ops Tapis’ yang bertindak atas maklumat, membuat serbuan di tanah perkuburan itu dan menemukan tertuduh.

Pemeriksaan lanjut terhadap tertuduh menjumpai satu peket lut sinar berisi bahan disyaki dadah di dalam beg pinggang.

Hasil analisis ujian kimia mengesahkan kandungannya adalah dadah methamphetamine.

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 6:37pm
d