mutakhir

Batal projek mega, jimat RM300 bilion - PM

Oleh Khairul Azran Hussin dan Siraj Mohd Zaini

KEPUTUSAN kerajaan membatalkan beberapa projek mega adalah disebabkan kekangan kewangan serta dapat menjimatkan kos sehingga mencecah RM300 bilion.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara projek yang dibatalkan termasuklah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Gas Trans-Sabah dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura.

“Kita bukan suka-suka batal (projek mega). Macam-macam perkara yang kita tak mampu bayar tetapi dilakukan juga, itu masalahnya dan ia menelan kos sebanyak RM300 bilion.

“Kita sekarang ini tengah kurangkan belanja kerajaan, kita terpaksa jual aset untuk bayar hutang.

“Contohnya kalau batal ECRL, tidak ada kesan kepada kita sebab diberikan syarikat asing. Malah mereka (syarikat asing) bawa masuk pekerja asing dan peralatan dari negara mereka... yang hilang kerja ialah mereka (pekerja asing) bukannya rakyat kita," katanya pada program Bicara Minda, di Seksyen 15, di Shah Alam, hari ini.

Dr Mahathir berkata, wang kerajaan yang dipinjam dan dilaburkan itu sepatutnya boleh diambil balik sekiranya tidak menguntungkan.

“Tetapi ia (wang) dicuri, dan pencuri itu tidak beritahu di mana duit itu disimpan. Jadi itu masalah, tapi tak lama lagi kita dapat cari,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, negara menyasarkan untuk menjadi negara maju pada 2025

“Negara perlu mencapai gagasan baharu itu berikutan wawasan awal pada 2020 tidak mampu dicapai kerana sudah kehilangan banyak dasar asal yang direncana oleh saya dahulu.

“Malaysia sudah kehilangan banyak masa iaitu selama 14 tahun dan segala usaha ke arah wawasan 2020 juga tidak dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 9:34pm
d