mutakhir

Panik diacu pisau

Oleh Hamzah Osman

JURUWANG stesen minyak di Jalan Ayer Hangat di Langkawi melalui detik cemas apabila lehernya diacu pisau di oleh penyamun, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berusia 48 tahun menyerbu ke dalam premis sebelum mengacu pisau ke leher mangsa sambil mengarahkannya mengeluarkan wang dari mesin daftar tunai, pada 4.20 petang.

Beliau berkata, sejurus memperoleh wang, suspek kemudian bertindak melarikan diri tanpa mencederakan mangsa.

“Bagaimanapun, seorang anggota polis yang sedang mengisi minyak kenderaannya di stesen terbabit menyedari kejadian itu dan bertindak mengejar suspek sejauh 200 meter sebelum menahannya.

“Berikutan tangkapan itu polis merampas pisau dan wang tunai berjumlah RM600 yang dilarikan dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suspek melakukan jenayah itu seorang diri.

“Polis sudah merakam percakapan pengadu, mangsa dan saksi berhubung kes. Suspek yang juga seorang penagih dadah turut memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes curi.

“Suspek kini direman dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 10:12am
d