mutakhir

Indikasi jelas

Oleh Zanariah Abd Mutalib

Putrajaya: Bajet 2019 yang bakal dibentangkan 2 November ini memberi indikasi dan gambaran jelas kepada pelabur mengenai hala tuju ekonomi negara dalam tempoh setahun akan datang.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Radzi Jidin berkata, Bajet 2019 melengkapkan penjelasan dan perancangan kerajaan melalui pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) pada Khamis lalu.

Beliau berkata, ada banyak faktor yang mempengaruhi keputusan pelabur, antaranya perang ekonomi antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta kadar faedah AS yang sedikit sebanyak memberi tempias kepada ekonomi negara.

“Situasi ekonomi kita stabil, cuma apabila (Pakatan Harapan) menang pilihan raya umum, ada tempoh sedikit apabila pelabur dan pasaran mengambil pendekatan berhati-hati.

“Kajian Separuh Penggal adalah lonjakan untuk menerangkan dasar kerajaan baharu dan Bajet 2019 nanti memberi penerangan lebih jelas kepada pelabur yang selama ini menanti-nanti mengenai hala tuju ekonomi negara dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pemegang Taruh ‘Pengukuran Kemajuan Tulen Ekonomi Malaysia Dengan Mengambil Kira Kebajikan Ekonomi dan Kelestarian Sumber’ anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

Turut hadir Pro Naib Canselor UKM (Penjanaan dan Prasarana), Prof Datuk Dr Nor Ghani dan Pengerusi Jawatankuasa Seminar, Prof Dr Jamal Othman.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 10:21am
d