mutakhir

Angkara makan telur hancur

Oleh Farah Suhaidah Othman

Gopeng: Seramai 53 pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gopeng mengalami simptom keracunan makanan selepas dipercayai makan telur hancur di dewan makan di sekolah berkenaan di sini, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak A Sivanesan berkata, siasatan awal mendapati 395 pelajar terdedah gejala berkenaan, tetapi 53 daripadanya dikenal pasti mengalami simptom keracunan makanan.

“Mereka terdiri daripada 35 pelajar lelaki dan 18 lagi pelajar perempuan.

“Enam daripada 53 pelajar itu mendapatkan rawatan di klinik swasta manakala selebihnya mendapatkan rawatan daripada pasukan perubatan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kampar ketika siasatan kes di sekolah berkenaan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Sivanesan berkata, semua pelajar yang mengalami simptom itu dikenal pasti mengalami keracunan makanan jam 2 pagi apabila pening, loya, muntah, sakit perut dan cirit birit selain demam dan kekejangan otot.

“Semua pelajar berkenaan dilaporkan stabil dan diberikan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pelajar berkenaan disyaki makan telur hancur bersama roti ketika hidangan makan lewat malam di dewan makan asrama sekolah berkenaan, jam 10.30 malam, Jumaat lalu.

Katanya, kejadian keracunan itu kes kedua berlaku membabitkan pengendali makanan yang sama tahun ini.

“Susulan kejadian itu, PKD Kampar menyita premis dapur berkenaan jam 9.50 pagi semalam (kelmarin) dan satu laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“PKD Kampar mengambil lima sampel najis pelajar yang terbabit, namun belum mendapat keputusan manakala bukti eksibit di bahagian dapur yang disyaki di premis berkenaan turut diambil bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 11:04am
d