mutakhir

Bayar RM120 untuk tambang perjalanan RM1

Oleh Hasbi Sidek

NIAT mahu membantu ‘memakan’ diri apabila wanita ditipu wanita hamil yang mendakwa dirompak dan sedang sakit mahu bersalin, di pusat membeli-belah Suria KLCC, Jumaat lalu.

Menurut penulisan mangsa, Lee Wen Lin di Facebook, wanita hamil itu meminta simpati untuk mendapatkan tambang perkhidmatan e-hailing.

“Saya memberikan telefon bimbit kepadanya untuk menghubungi suaminya dan membuat panggilan kecemasan 999. Ketika membuat panggilan air matanya mengalir dan suaminya tidak menjawab panggilan.

“Dia cakap suaminya sedang menerbangkan pesawat dengan mendakwa suaminya bekerja sebagai juruterbang,” katanya.

Dia berkata, wanita itu mendakwa operator 999 memaklumkan dia perlu ke hospital menggunakan kenderaan sendiri selain tiada yang mahu membantunya termasuk pihak pusat beli-belah sambil menangis teresak-esak.

Menurut Wen Lin, dia menawarkan untuk mendapatkan perkhidmatan Grab bagi membawanya ke hospital berdekatan, namun wanita itu menolak kerana dia perlu bersalin di Pusat Perubatan Sime Darby (SDMC) di Subang Jaya.

“Saya tempah GrabCar dan menggunakan GrabPay tetapi dia berkeras mahu menggunakan GrabTaxi dengan bayaran tunai dengan alasan kerusi kulit tidak akan dikotori kesan darah di pakaiannya.

“Sebelum masuk ke dalam teksi terbabit, suspek turut meminta sedikit wang daripadanya. Aplikasi Grab menganggarkan bayaran antara RM50-RM80, jadi saya bagi dia RM120 atas dasar kasihan,” katanya.

Bagaimanapun, Wen Lin menyedari dia ditipu selepas menerima resit daripada aplikasi Grab yang mana teksi itu membawa wanita hamil ke hospital berdekatan dengan tempoh perjalanan kira-kira lima minit dan kos teksi hanya RM1.

Malah Wen Lin turut menyedari wanita terbabit tidak membuat panggilan kecemasan 999 berdasarkan log panggilan di telefon bimbitnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian.

“Saya meminta wanita berkenaan supaya tampil membuat laporan polis jika kejadian itu benar berlaku dan jangan hanya menulis di laman sosial kerana ia menimbulkan keraguan dan ketakutan kepada orang awam,” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 1:47pm
d