mutakhir

Tak perlu tribunal SPR [METROTV]

Oleh Rohaniza Idris

TIADA keperluan untuk kerajaan menubuhkan tribunal menyiasat dakwaan salah laku Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutamanya ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, ini kerana sudah ada pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu dan pemendekan tempoh perkhidmatan lima ahli SPR yang akan berkuat kuasa Januari depan.

Katanya, berdasarkan perkembangan terkini mengenai peletakan jawatan ahli SPR itu, isu penubuhan tribunal tidak berbangkit lagi.

“Mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja pula, saya rasa buat masa ini belum sampai masa lagi untuk mengendalikan isu itu kerana perkara itu sedang diuruskan mahkamah,” katanya ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH DAP-Kota Melaka) pada Sesi Jawapan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Liew berkata, SPR dengan Pengerusi yang baharu, Azhar Azizan Harun sedang melakukan penambahbaikan suruhanjaya berkenaan.

“Pada masa ini, SPR sedang menjalankan satu proses pembaharuan. Saya percaya Pengerusi SPR yang baharu akan menambah baik SPR dan menyelesaikan pelbagai masalah yang berbangkit dulu,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Khoo mengenai ketiadaan tribunal itu menyebabkan isu salah laku PRU-14 tidak dapat diselesaikan, Liew berkata, perkara yang dibangkitkan mengenai salah laku itu seperti akauntabiliti, Borang 14, pengundi hantu, persempadanan semula adalah antara perkara utama yang sedang ditangani pengerusi baharu SPR dan ahli baharu yang akan dilantik nanti.

“Malah, isu Borang 14 sudah pun di bawa ke mahkamah. Saya difahamkan kebanyakan petisyen itu ada yang sudah didengar dan ada yang ditolak,” katanya.

Menjawab soalan tambahan, Tan Sri Annuar Musa (BN UMNO-Ketereh) mengenai pelantikan aktivis politik sebagai Pengerusi SPR beri kesan kepada akauntabiliti suruhanjaya itu, beliau yakin Azhar Azizan mampu melaksanakan tugas dengan bertanggungjawab supaya isu salah laku lama tidak berulang lagi.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 2:14pm
d