mutakhir

Najib, Irwan Siregar didakwa lusa?

Oleh Safeek Affendy Razali

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkemungkinan akan menahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Siregar Abdullah.

Difahamkan, penahanan mereka bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan firma pelaburan Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC).

Sumber berkata, SPRM sudah menghantar notis kepada kedua-dua mereka untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya berkenaan di Putrajaya, pada 2 petang esok.

“Berkemungkinan pihak SPRM akan menahan kedua-duanya sebelum membawa mereka ke mahkamah untuk proses pendakwaan keesokan hari," katanya ketika dihubungi NSTP.

Sumber itu berkata, Najib bakal berhadapan dengan enam pertuduhan berhubung siasatan IPIC, namun tidak dapat memaklumkan jumlah pertuduhan yang bakal dilakukan terhadap Irwan.

News Straits Times (NST) hari ini melaporkan bahawa Najib berkemungkinan berhadapan sekurang-kurangnya empat pertuduhan berhubung urusan 1MDB dan IPIC.

Laporan berkenaan mendedahkan bahawa penyiasat SPRM meneliti bagaimana pentadbiran lama menyelesaikan hutang.

Selain itu, pihak terbabit cuba mengenal pasti pihak yang meluluskan bayaran berkenaan yang dikatakan dibuat tanpa kelulusan Kabinet.

Berita berkaitan

Irwan Serigar mungkin ditahan

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 7:49pm
d