mutakhir

Hasanah pula kena dakwa?

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

BEKAS Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid dijangka didakwa Khamis ini dipercayai berhubung dakwaan penyelewengan dana berjumlah AS$12 juta (RM49.9 juta).

Menurut sumber, Hasanah akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan terbabit.

Difahamkan, Hasanah akan menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membabitkan pecah amanah oleh penjawat awam.

Pada 28 Ogos lalu, beliau ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam salah guna kuasa dan penyelewengan dana milik kerajaan bagi peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Keesokannya, beliau direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana berkenaan.

Sebelum ini, Hasanah dikaitkan dengan satu surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA).

Menerusi surat berkenaan, MEIO yang beroperasi di sebalik Bahagian Penyelidikan JPM didakwa meminta Amerika Syarikat terus menyokong pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika Barisan Nasional (BN) menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam PRU-14.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 8:09pm
d