mutakhir

[UPDATE] 'Sempat berbual dengan arwah ayah'

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

“SAYA sempat berbual dengan arwah ayah pada 4 pagi tadi sebelum dia keluar bertugas...saya tanya dia awalnya pergi kerja dan dia jawab perlu keluar bertugas awal kerana melakukan tugasan mengiring.”

Itu kenangan terakhir Khairul Nizam Roslan, 24, anak kedua Allahyarham Sarjan Mejar Roslan Ma’on, 50, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 183 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Gambang, Maran, hari ini.

Dalam kemalangan 3 petang itu, mangsa bersama rakan setugasnya Konstabel Watson Anak Edin, 23, dari Cawangan Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dalam perjalanan dari arah Bentong Ke Kuantan.

Mereka dikatakan sedang melakukan tugasan mengiring kenderaan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang yang membawa kertas peperiksaan sebelum terbabit nahas.

Khairul Nizam berkata, keluarganya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 4 petang sebelum dia bergegas ke Hospital Jengka.

“Masa itu saya sedang solat dan adik maklum ada polis telefon kata ayah dah tiada.

“Seakan tidak percaya kerana pagi tadi saya sempat berbual dengan ayah sebelum dia keluar bertugas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jengka, malam ini.

Pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang itu berkata, jenazah arwah bapanya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, pagi esok.

Allahyaham Roslan meninggalkan isteri, Mazura Md Yusof, 51, dan empat anak.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kereta Proton Waja dipandu Roslan dipercayai melanggar lopak air sebelum hilang kawalan dan melanggar besi pembahagi jalan.

Katanya, ketika kejadian hujan lebat sebelum kenderaan dinaiki mereka terbabas dan dua anggota terbabit disahkan maut di tempat kejadian.

Berita berkaitan

'Dua polis maut kemalangan'

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 10:12pm
d