mutakhir

Anggota polis 'korban' lori buat pusingan U

Oleh Zaid Salim

TINDAKAN pemandu lori membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan meragut nyawa seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) apabila motosikal ditungganginya merempuh bahagian belakang lori terbabit, 11 pagi hari ini.

Ketika kejadian, Konstabel Mohd Amir Firdaus Ramli, 24, dari Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus dalam perjalanan pulang ke balai berkenaan selepas selesai melakukan pemeriksaan kenderaan di Kawasan Perindustrian Gong Badak.

Difahamkan, sebaik mangsa tiba di simpang tiga berhampiran kilang percetakan, pemandu lori lima tan secara tiba-tiba membuat pusingan U di kawasan berkenaan.

Mangsa yang tidak sempat memberhentikan kenderaannya merempuh belakang lori berkenaan.

Akibat rempuhan itu, mangsa yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori terbabit tidak cedera.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi NSTP mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jenazah Mohd Amir disembahyangkan di surau Perumahan Flat Polis di Padang Hiliran, Kuala Terengganu, hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 10:29pm
d