mutakhir

Manfaat tayar lama

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Tayar terpakai yang lazimnya disifatkan sebagai bahan terbuang tetap bermanfaat jika diberikan kepada Abdul Rahman Husin.

Bukan untuk kegunaan pada motosikal atau diubahsuai menjadi landskap halaman rumah, sebaliknya tayar terpakai digunakan untuk membersihkan kebun, terutama pada musim hujan sekarang.

Dengan menunggang motosikal sejauh kira-kira tujuh kilometer dari kediamannya di Kampung Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah, di sini, Abdul Rahman, 69, masih bertenaga untuk mencari tayar terpakai di beberapa bengkel di sekitar pekan Masjid Tanah.

“Tayar buruk tidak ada nilai bagi pemilik motosikal dan mekanik, tetapi amat bernilai bagi saya kerana ia amat bermanfaat untuk membantu membakar pokok kayu di kebun.

“Pada musim hujan ketika ini, tayar buruk berguna untuk dijadikan bahan bakar pokok kayu yang sudah ditebang kerana apabila saya meletakkannya di bawah timbunan kayu, api dapat bertahan lama dan membakar keseluruhan kayu,” katanya.

Warga emas itu berkata, dengan menggunakan tayar terpakai sebagai bahan bakar, pokok kayu dan semak-samun yang dibersihkan lebih mudah terbakar, berbanding tanpa menggunakannya.

“Mekanik atau pemilik motosikal tidak pernah mengenakan bayaran ke atas saya setiap kali mengambil tayar, sebaliknya ada di antara mereka mengucapkan terima kasih kerana membantu melupuskan bahan terbuang itu.

“Mereka (mekanik) meminta saya datang selalu untuk mengutip tayar buruk kerana mereka malas hendak membakarnya sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata, dia tidak perlu berbuat demikian setiap hari kerana bukan selalu membersihkan kebunnya seluas 0.8 hektar itu dan sebahagian besar daripadanya sudah dipenuhi pelbagai tanaman.

“Kali ini saya bersihkan sedikit bahagian kebun yang dipenuhi semak-samun untuk ditanam dengan empat pokok durian musang king yang benihnya saya beli di Terengganu pada harga RM40 sebatang,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 11:06am
d