mutakhir

'Sedih tengok ibu terlantar'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

“SAYA sedih kerana ibu tidak seperti dulu lagi kerana kini dia hanya terlantar di rumah,” kata Nur Fazreen Azhar, 17, dari Kampung Bukit Laka mengenangkan keadaan ibunya, Zalihah Ja’afar, 43, yang menghidap penyakit leukemia sejak Februari lalu.

Nur Fazreen berkata, disebabkan keadaan kesihatan ibu yang merosot, dia pernah mengambil cuti selama sebulan bagi menjaga ibunya yang memerlukan perhatian meskipun bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mansor itu berkata, walaupun persiapan peperiksaannya sedikit terjejas, namun menjaga ibunya lebih penting selain menguruskan dua adiknya berusia tiga dan 12 tahun.

“Ayah hanya berkerja kampung dan perlu menyediakan perbelanjaan terutama menghantar ibu mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dua kali sebulan serta membeli ubat tambahan.

“Sewa rumah juga sudah enam bulan tertunggak kerana ayah tidak mampu membayar sewa bulanan RM200, namun setakat ini kami bernasib baik kerana tuan rumah memahami masalah dihadapi keluarga.

“Bil utiliti juga tertunggak dan dua hari lalu mujur MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) yang melawat kami, membantu menjelaskan tunggakan bil air,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurut anak kedua dari empat beradik itu, ibunya sebelum ini mengalami demam selain gusi berdarah dan bapanya membawa ibu ke Klinik Kesihatan Bahau bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, doktor mengesahkan ibunya menghidap leukemia dan dihantar ke Hospital Ampang bagi rawatan lanjut.

“Ibu sudah menjalani rawatan kemoterapi dan menunggu masa bagi pembedahan sum sum tulang, namun perlu menunggu penderma sesuai.

“Dua beradik ibu ada menawarkan diri, namun seorang daripadanya didapati tidak sesuai dan seorang lain perlu menunggu hasil ujian terlebih dulu,” katanya.

Anak sulung Zalihah, Hazfanizam Shah, 20 yang juga penuntut di Politeknik Port Dickson berkata, kesempitan wang yang dialami keluarga menyebabkan dia sering mengikat perut di asrama.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan dia tidak dapat memberi perhatian terhadap pengajian selain sering memikirkan kesihatan ibunya.

“Saya perlu berjimat-cermat kerana memahami keadaan kewangan keluarga dan tidak kisah jika berlapar.

“Cuma kerana terlalu memikirkan kesihatan ibu, saya gagal satu subjek dan perlu mengambilnya semula semester depan,” katanya yang sepatutnya menamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekatronik pada November ini.

Hazfanizam Shah berkata, dia memahami masalah dihadapi keluarga malah turut kasihan kerana bapanya perlu mencari wang bagi membayar bil rawatan ibu yang masih tertunggak berjumlah RM1,713.

Sehubungan itu, orang ramai yang mahu membantu keluarga Zalihah boleh menyalurkan sumbangan menerusi akuan Maybank 151240155849 atas nama Zalihah Ja’afar.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 2:17pm
d