mutakhir

Jambatan di Jalan Rantau Panjang mendap

Oleh Ruwaida Md Zain

PENDUDUK di sekitar Rantau Panjang dan Ladang Sungai Tinggi di Bestari Jaya di Kuala Selangor terpaksa menggunakan laluan alternatif selepas jambatan di Jalan Rantau Panjang terpaksa ditutup kepada lalu lintas.

Ia berikutan kejadian mendapan tanah yang berlaku pada 10.15 malam tadi di laluan sebelum menaiki jambatan yang merentangi Sungai Selangor, berdekatan kuil Hindu di situ.

Jambatan itu terputus pada Kilometer 2.0 hingga 2.1 membabitkan laluan sepanjang 30 meter.

Susulan kejadian, pengguna jalan raya di kawasan itu diminta menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Rawang ke Jalan Raja Musa dan Jalan Timur Tambahan.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor berkata, pihaknya sudah menjalankan kerja pembersihan di lokasi.

“Penutupan jalan diletakkan di permulaan susur masuk Jalan Rantau Panjang manakala pemantauan dari semasa ke semasa dijalankan oleh JKR Daerah Kuala Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 3:45pm
d