mutakhir

Diliwat remaja dalam tandas

Oleh Nur Izzati Mohamad

REMAJA lelaki berusia 16 tahun dipercayai diliwat remaja berusia 14 tahun di sebuah tandas sebuah pusat sukan dekat Mak Mandin, di Butterworth, Julai lalu.

Bagaimanapun, mangsa hanya membuat laporan polis malam tadi, selepas video insiden itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisoner Noorzainy Mohd Noor, mangsa mendakwa suspek sudah digantung sekolah, akibat kejadian itu.

Menurutnya, mangsa juga sudah tidak bersekolah sejak berusia 12 tahun

“Susulan laporan, mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar.

“Polis juga sudah menahan suspek berusia 14 tahun dan direman untuk siasatan lanjut,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

Semalam, dua kanak-kanak, berusia 11 dan 13 tahun membuat laporan polis mendakwa diliwat pengetua sebuah sekolah menengah di Kepala Batas.

Mangsa mendakwa diliwat ketika mereka menyertai satu program pendidikan di sekolah terbabit, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohd Jamil Mohamed berkata, pihaknya memandang serius berhubung salah laku seksual dalam kalangan warga pendidik.

Menurutnya, pihak jabatan sama sekali tidak akan berkompromi terhadap kes yang berlaku.

“Kita sudah ‘pool’ (diletakan secara pentadbiran) pegawai ini di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai sehingga kes ini selesai,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 5:17pm
d