mutakhir

Tiga beranak satu liang lahad

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

JENAZAH tiga beranak yang ditemui lemas minggu lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Behor Kedar, Arau, hari ini.

Ketiga-tiga jenazah terbabit dikebumikan dalam satu liang lahad selepas disolatkan kira-kira 100 jemaah terdiri daripada sanak saudara dan rakan di Masjid Negeri, 1.30 tengah hari tadi.

Suasana di tanah perkuburan turut diselubungi pilu dan sedih apabila anak lelaki mangsa berusia 37 tahun yang masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar turut hadir.

Adik mangsa, Kamaldin Pin, 54, berkata, jenazah tiga beranak berkenaan dibenarkan dibawa pulang oleh keluarga selepas prosedur bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah selesai pagi tadi.

“Kami bersyukur kerana selepas seminggu berulang-alik dari Arau ke HSB, akhirnya urusan pengebumian selamat dilaksanakan hari ini.

“Saya anggap perkara ini sudah selesai dan tidak perlu lagi diungkitkan tragedi yang menimpa kakak sekeluarga,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan berkenaan.

Kamaldin berkata, dia reda dengan apa sahaja keputusan laporan toksikologi yang bakal dikeluarkan pihak HSB dua bulan lagi.

“Kami anggap ia adalah takdir yang menimpa keluarga kakak,” katanya sugul.

Sebelum ini NSTP melaporkan tiga beranak ditemui lemas di Sungai Arau Khamis lalu, dengan mereka dikatakan bertindak meminum racun sebelum terjun ke sungai akibat tekanan hutang dialami keluarga itu.

Berikutan itu, anak lelaki pasangan terbabit ditahan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Jumaat lalu, selepas dia turut dilihat kali terakhir bersama ibu, bapa dan adik perempuannya sebelum kejadian.

Bagaimanapun proses pengebumian tiga beranak berkenaan terpaksa ditangguhkan berikutan pihak hospital perlu menunggu pengesahan cap jari mayat dari Bukit Aman dan laporan toksikologi dari Jabatan Kimia HSB.

Berita berkaitan

Mayat tiga beranak belum boleh dituntut

Tiga beranak lemas: Ambil sampel darah anak sulung

[UPDATE] 'Cari duit nak kahwinkan anak lelaki...'

Polis tunggu laporan kimia tiga beranak lemas

'Mustahil mereka bunuh diri...'

[UPDATE] Tiga beranak minum racun sebelum terjun

[UPDATE] Kepulangan terakhir sebuah keluarga... [METROTV)

[UPDATE] Ingatkan lemas, rupanya....

Mayat dua beranak ditemui terapung

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 5:46pm
d