mutakhir

Istimewanya Nasi Goreng 'Jakpa Tonggek' [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

JIKA dilihat menu nasi goreng yang dihasilkan, ia agak biasa iaitu campuran kicap dan hirisan daging.

Yang menjadikannya istimewa adalah resipi nasi goreng dijual Fairuz Adnan, 31, itu adalah daripada seorang bapa yang sudah bertahun-tahun menyediakan juadah itu untuk mereka sekeluarga.

Fairuz berkata, disebabkan selalu menikmati menu masakan bapa, Adnan Mahmood, 64, sejak kecil, mereka sekeluarga menggelarkannya sebagai Nasi Goreng ‘Jakpa Tonggek’ iaitu dalam masyarakat Kelantan, istilah Jakpa Tonggek menggambarkan sesuatu yang lama dan ditelan zaman.

“Idea untuk berniaga nasi goreng hasil air tangan abah ini tercetus daripada idea abah sendiri kerana semua ahli keluarga gemarkan juadah ini, malah kami adik beradik sering meminta abah untuk menggorengnya.

“Nama Jakpa Tonggek itu diberikan abah bagi menggambarkan juadah ringkas itu sudah lama berzaman dihasilkan dan tiada tambahan lauk lain termasuk telur atau sayur,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Morak, Tumpat, hari ini.

Fairuz berkata, walaupun resipi itu ringkas, tetapi bahan dan cara memasaknya agak lain iaitu menggunakan daging urat keting lembu tempatan yang direbus terlebih dahulu bagi menjadikannya empuk.

Menurutnya, selain itu beberapa keping asam keping dimasukkan bersama bahan lain dan ditumis seketika sebelum diangkat bagi memberikan rasa masam yang sebati bersama rasa bahan lain.

Adik Fairuz, Shaila Adnan, 22, yang juga seorang pengusaha kosmetik sering memuat naik video bapa mereka sedang menggoreng nasi menerusi Insta Story Instagram (IG), menjadikan ribuan pengikut (follower) mencadangkan agar menu itu dijual.

Sejak dijual kira-kira dua minggu lalu, Shaila berkata, Nasi Goreng ‘Jakpa Tonggek’ yang digoreng kakaknya dan kadang-kala, bapanya turut turun padang beraksi mendapat sambutan luar jangkaan dan menjadi tular di laman sosial.

Menurutnya, gerai yang beroperasi setiap Selasa, Jumaat dan Sabtu sering dikunjungi pelanggan berlainan dan tidak kurang berulang serta sudah menjadi pelanggan tetap.

“Gerai beroperasi pada sebelah petang bermula 3 petang hingga 11 malam dan nasi goreng dijual pada harga RM5 sebekas itu mampu dijual sebanyak 300 hingga 400 bekas pada satu-satu masa.

“Saya kini sedang membaikpulih kedai bersebelahan gerai untuk dijadikan kafe yang menjual makanan menu Thailand dan sebaik ia beroperasi awal tahun hadapan, menu Nasi Goreng ‘Jakpa Tonggek’ boleh didapati di kafe itu,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 6:56pm
d