mutakhir

Seram lihat rekahan [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

“SAYA terkejut melihat rekahan tanah besar betul-betul di bawah rumah,” kata Pandak Ngah, 42, penduduk Kampung Pawong, Pos Raya di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dekat Simpang Pulai yang terjejas akibat kejadian itu, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian 3 petang itu dia berseorangan di dalam rumah manakala isteri keluar bekerja dan anak mereka pula di sekolah.

“Saya sedang memasak nasi di dapur dan sebaik saja keluar dari rumah saya terkejut apabila melihat tanah di bawah rumah sudah merekah teruk.

“Saya terus berasa seram dan menjadi takut melihat keadaan tanah yang merekah dan terus keluar rumah memberitahu kawan-kawan dan tok batin mengenai kejadian itu,” katanya.

Pandak berkata, dia sekeluarga sudah berpindah ke rumah saudara terdekat buat sementara waktu.

“Walaupun kami sekeluarga sudah berpindah ke rumah saudara tetapi kami tetap bimbang memikirkan kawasan tanah merekah yang begitu hampir dengan kami.

“Kami memang tidak dapat tidur lena kerana membayangkan situasi buruk yang mungkin berlaku,” katanya.

Menurutnya, kesan daripada rekahan itu sumber bekalan air di penempatan itu terpaksa ditutup.

Katanya, kejadian tanah merekah pernah berlaku di kawasan itu lima tahun lalu namun tidak membabitkan rumah penduduk.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Pawong, Ismail Balah berkata, kesan rekahan kecil mula kelihatan oleh penduduk sejak Sabtu lalu namun tidak begitu teruk.

“Walaupun hanya rekahan kecil dan tidak kedengaran apa-apa bunyi (rekahan tanah) tetapi saya menasihati penduduk berpindah buat sementara waktu ke rumah jiran bersebelahan bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

“Laporan sudah dibuat kepada JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) pada jam 11 pagi semalam, tetapi rekahan paling teruk berlaku jam 3 petang,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan hari ini.

Ismail berkata, sebahagian penduduk di situ masih mengalami trauma dan bimbang dengan kejadian rekahan yang berlaku.

“Paling serius terkena kesan rekahan adalah tiga rumah tetapi saya tetap meminta tiga lagi rumah berdekatan berpindah,” katanya.

Ismail berkata, jika tempat penempatan yang diduduki penduduk kini tidak selamat penduduk bersedia berpindah ke penempatan baharu yang lebih terjamin.

“Kawasan ini seperti semua sedia maklum adalah kawasan Banjaran Titiwangsa yang sensitif dan mudah berlaku kejadian rekahan dan hakisan tanah,” katanya.

Kampung Pawong didiami 115 penduduk dan mempunyai 36 rumah termasuk rumah adat yang dibina sendiri oleh penduduk serta sebuah surau.

Berita berkaitan:

  • Kawasan rekahan bukan tanah asal
  • Penduduk pindah bumi 'terbelah'
  • Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 7:20pm
    d