mutakhir

Tanah runtuh di Kampung Raja

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

TANAH runtuh di Batu 51, Jalan Kuala Kuala Terla, Kampung Raja, Cameron Highlands, hari ini.

Kejadian kira-kira 5 petang itu menyebabkan laluan di kedua-dua arah terhalang.

Sebuah Toyota Hilux diparkir di situ juga terhumban ke dalam parit.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan jam 5 petang.

Katanya, kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada pihak bomba, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Roadcare.

“Ada Toyota Hilux terhumban ke dalam longkang akibat ditolak oleh tanah runtuh berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika kejadian, tiada individu berada di dalam kenderaan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Ashari berkata, setakat ini, jalan utama dari Kampung Raja ke Cameron Highlands tidak boleh dilalui akibat timbunan tanah kira-kira 30 meter.

"Kerja-kerja pengalihan tanah runtuh sedang dilakukan oleh JKR dan Roadcare.

"Pihak bomba turut berada di tempat kejadian bagi membantu jika berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.

Sehingga jam 7.45 malam, laluan berkenaan masih ditutup.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 8:37pm
d