mutakhir

[UPDATE] Telefon ibu dua hari sekali

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

ANGGOTA polis berpangkat Lans Koperal yang ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di Balai Polis Pekan Baru di Ipoh, pagi semalam, sangat rapat dengan keluarganya dan akan memberitahu mereka jika mempunyai sebarang masalah.

Ibu saudaranya yang enggan dikenali, berkata mendiang S Pritviraj akan menelefon ibunya yang tinggal di Kajang, Selangor, setiap dua hari sekali bagi bertanya khabar.

Beliau berkata, mendiang kebiasaannya akan balik ke rumahnya di Kajang atau rumah neneknya di Ampang, Selangor, sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Justeru, katanya, berita kematian anggota polis yang masih bujang itu adalah sesuatu yang mengejutkan dan tidak disangka oleh keluarga mereka.

“Kali terakhir dia menelefon ibunya semalam dan perbualan seperti biasa, tidak menunjukkan sebarang perubahan atau mengadu ada masalah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, semalam.

Wanita berusia 40-an itu hadir bersama-sama ibu mendiang yang kelihatan lemah dan terpaksa dipimpin ahli keluarga lain ketika tiba di jabatan berkenaan bagi menuntut mayat mendiang.

Bapa mendiang bagaimanapun tidak dapat hadir kerana kurang sihat.

Pritviraj ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala berhampiran kediamannya di dalam Balai Polis Pekan Baru.

Kejadian dipercayai berlaku pada 6.15 pagi dan polis masih menyiasat motif sebenar kematian mendiang berusia 29 tahun itu.

Ibu saudara mendiang berkata, anak saudaranya itu adalah anak kedua daripada lima beradik terdiri daripada mempunyai seorang abang sulung dan tiga adik perempuan.

Katanya, mendiang memang meminati tugas anggota polis sejak kecil dan mengambil inspirasi daripada mendiang datuknya yang bekerja sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dia berkata, mendiang juga seorang yang amat fokus kepada kerjayanya dan tidak pernah membincangkan soal jodoh atau menyatakan hasrat untuk berkahwin.

Sementara itu, mayat mendiang dibawa keluar dari Jabatan Forensik HRPB pada 3 petang semalam untuk dibawa ke Kajang bagi urusan persemadian.

Berita berkaitan

'Mendiang berpakaian seragam, sub mesingan di sisi'

'Polis maut, ada kesan tembakan di kepala'

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 12:07am
d