mutakhir

Jemput Dr Mahathir sertai UMNO - Annuar

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PELAWAAN Tun Dr Mahathir Mohamad supaya ahli UMNO meninggalkan parti itu yang disifatkannya sudah ‘tiada’ dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), ditolak mentah-mentah oleh pemimpinnya.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata, selain kesetiaan tinggi ahlinya, faktor penolak utama adalah kerana BERSATU dianggap lemah serta tidak mendapat sambutan daripada rakyat.

Katanya, di Negeri Sembilan misalnya, sukar untuk ahli UMNO menyertai BERSATU yang terpaksa dibubarkan.

“Begitu juga di negeri lain apabila BERSATU sangat lemah, terlalu kecil dan tiada sambutan daripada rakyat. (Malah) di kawasan itu, BERSATU ditolak oleh rakyat dan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Mei lalu.

“Sangatlah berbahaya bagi ahli UMNO menyertai BERSATU kerana tanpa Dr Mahathir menjadi PM (Perdana Menteri) nanti, parti itu bakal lebih terhimpit lagi.

“Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran negara dan Dr Mahathir sudah tiada lagi, BERSATU bakal bermasalah lebih parah lagi,” katanya sambil menambah faktor usia Dr Mahathir yang semakin uzur turut mempengaruhi.

Annuar berpendapat kemungkinan Dr Mahathir jujur ketika membuat gesaan supaya ahli UMNO menyertai BERSATU yang disifatkan berdepan situasi cemas.

“Namun Dr Mahathir tentu faham, ahli UMNO adalah orang Melayu amat setia dengan partinya. Inilah yang beliau tarbiyyah kepada kita.

“Yang sering bermasalah dalam UMNO adalah pemimpinnya, yang bertukar parti adalah pemimpinnya, yang berebut kuasa adalah pemimpinnya, yang rasuah adalah pemimpinnya, dan diseret ke mahkamah adalah pemimpinnya.

“Justeru, ahli UMNO reda hilang pemimpinnya, namun mereka tidak menukar partinya,” katanya.

Beliau berkata, UMNO yang mempunyai keahlian 3.6 juta orang dan 22,000 cawangan di 191 bahagian adalah parti yang cukup berperaturan dan berdisiplin.

“Ini terbukti apabila mesyuarat UMNO dengan hampir 200,000 perwakilan berjalan aman, tiada tumbuk menumbuk, tiada kerusi berterbangan dan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) tidak perlu dipanggil campur tangan.

“Politik wang sudah dihapuskan dan kini politik wang menjadi amalan parti lain yang berhijrah dari UMNO.

“Insya-Allah, UMNO itu tidak akan mati. Yes we are down but certainly not out (Ya, kita tewas namun tidak akan mati). Ini kerana UMNO bertapak di dalam roh dan sanubari orang Melayu,” katanya.

Menurut Annuar lagi, walaupun lamaran dan pelawaan Dr Mahathir kelihatan menggiurkan terutama bagi wakil rakyat dan pemimpin yang kemaruk untuk mendapat kedudukan bersama dalam kerajaan, ia tidak menarik bagi majoriti ahli UMNO.

“Sebaliknya, UMNO yang barangkali harus membuat tawaran balas iaitu menjemput Dr Mahathir dan ahli BERSATU untuk menyertai UMNO.

“Sesungguhnya amat ramai ahli UMNO, termasuk saya sendiri, amat sayang dan menghormati Tun dengan hati yang tulus ikhlas. Kita berjuang bersama puluhan tahun, rebah berkali-kali membela Tun dan UMNO.

“Tinggal lagi kita berpegang kuat pada ajaran Tun sendiri supaya kita jangan berpecah, kita jangan tinggalkan parti, kita jangan sokong atau tunduk kepada DAP dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, perjuangan orang Melayu dan umat Islam serta rakyat Malaysia di bawah Dr Mahathir akan menjadi lebih stabil, kuat dan berkesan apabila Perdana Menteri diperkasakan melalui wadah parti UMNO dan bukannya BERSATU.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 1:05am
d