mutakhir

Mana penyokong Najib?

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Teoh Pei Ying

PENYOKONG bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak kelihatan di Kawasan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Setakat 8.30 pagi tadi, hanya Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam yang kelihatan menyambut Najib sejurus tiba di perkarangan kompleks.

Kira-kira 100 pengamal media mula berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejak 6 pagi tadi.

Difahamkan, penyokong Najib akan tiba di kompleks ini selepas pertuduhan dijalankan.

Terdahulu, Najib dan Mohd Irwan Serigar tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi berdepan pertuduhan atas kesalahan pecah amanah.

Mohd Irwan berpakaian sut berwarna biru gelap tiba pada jam 8.10 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) diiringi beberapa anggota dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib pula yang berpakaian sut kelabu tiba 10 minit kemudian menaiki kereta Proton Perdana warna hitam.

Najib dan Mohd Irwan dijangka didakwa dengan enam pertuduhan pada pagi ini bagi kes berkaitan firma pelaburan Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC).

Kesemua pertuduhan itu akan dilakukan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah ama­nah sejumlah wang yang dipercayai bernilai lebih RM6 bilion.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 8:49am
d