mutakhir

Ya Allah, sembuhkan dia...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“WALAUPUN keadaan anak saya semakin lemah, namun dia tetap kuat melawan kanser yang kini sudah merebak ke bahagian kaki menyebabkannya tidak lagi boleh berjalan,” kata Rogayah Rejab, 55, ibu kepada Muhammad Syahmi Abd Rahman.

Muhammad Syahmi, 25, disahkan menghidap leukimia dua tahun lalu, selepas tamat pengajian di Institut Kemahiran Malaysia (IKM) menyebabkan dia tidak dapat mencari pekerjaan.

Menurut ibunya, anak ketiga dari lima beradik itu dikesan menghidap leukimia selepas diserang demam berpanjangan.

“Kami ingat cuma demam biasa dan dia hanya mengambil paracetamol, namun lama-kelamaan dia mengalami gusi berdarah berpanjangan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk pemeriksaan.

“Kami sekeluarga akur apabila doktor memaklumkan dia menghidap leukimia sehingga menyebabkan berat badannya makin susut akibat hilang selera makan,” katanya ketika ditemui di HSB.

Rogayah berkata, sepanjang tempoh dua tahun itu, anaknya kerap mendapat rawatan di HSB termasuk menjalani rawatan kimoterapi serta rawatan susulan lain.

Katanya, disebabkan itu mereka menghadapi masalah kerana terpaksa membayar secara ansuran bil hospital yang kini tertunggak.

“Sebelum ini ada bil tertunggak sebanyak RM200 dan belum sempat kami jelaskan, Muhammad Syahmi sekali lagi dimasukkan ke wad dan menjalani rawatan hampir sebulan menyebabkan kami buntu memikirkan bil rawatan yang semakin bertambah.

“Bapanya, Abdul Rahman Salleh, 60, pula pesara kerajaan dan kini tidak bekerja, dan wang pencen yang diterima setiap bulan tidak cukup menyara kami sekeluarga,” katanya.

Rogayah berkata, disebabkan Muhammad Syahmi tidak mempunyai selera makan, dia membeli susu formula yang harganya agak mahal dan hanya bertahan dalam tempoh tidak sampai seminggu untuk satu tin kecil sebagai makanan tambahan.

Selain itu, anaknya juga perlu dipakai lampin pakai buang kerana sudah tidak boleh bangun atau bergerak seperti dulu menyebabkan dia dan anak keempat, Nurul Nasuha, 22, terpaksa bergilir-gilir menjaga Muhammad Syahmi.

Sehubungan itu, orang ramai yang sudi menghulur sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun 0213141000085504 (Bank Simpanan Nasional) Muhammad Syahmi Abdul Rahman atau menghubungi adiknya, Nurul Nasuha di talian 011-11447096 atau Rogayah 019-4321625.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 10:06am
d