mutakhir

Ada tak kena!

Oleh Ahmad Suhael Adnan

Kuala Lumpur: Jumlah aduan yang tinggi terhadap sistem e-undi digunakan pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini, menjadi bukti bahawa ia tidak stabil.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, pelbagai aduan diterima di peringkat akar umbi serta akuan berkanun dibuat ahli PKR di Sarawak baru-baru ini, menunjukkan isu dibangkitkan sepanjang pemilihan kali ini amat serius.

Antara aduan itu katanya, termasuklah dakwaan membabitkan berlakunya penipuan, sambungan Internet yang tidak stabil serta jumlah undi yang ‘hilang’.

“Ada banyak keadaan (berlaku) dalam tiga hingga empat minggu kebelakangan ini, mengenai pelbagai aduan terhadap sambungan internet yang tak stabil serta undi yang hilang, termasuklah di cabang saya sendiri, Gombak.

“Bagaimana anda nak jelaskan, anda keluarkan hampir 1,700 kod QR, tetapi hasil undian tidak selaras dengan jumlah itu.

“Ada sesuatu yang tidak kena. Anda tidak boleh ketepikan semua isu ini, sebaliknya Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) perlu laksanakan siasatan. Ini yang dituntut ahli PKR,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kelmarin yang menyifatkan beberapa masalah yang timbul ketika pemilihan di Selangor, bukan kerana sistem e-undi, sebaliknya isu disiplin anggota.

Saifuddin turut dilaporkan berkata, isu membabitkan sistem e-undi hanya berlaku pada pemilihan di Pulau Pinang, Kedah dan Melaka manakala kes undi ‘hilang’ di lima cabang di Melaka dan satu di Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR Sarawak Vernon Albert Kedit membuat akuan berkanun bertarikh 17 Oktober berhubung isu jumlah pengundi PKR yang bertambah secara mendadak di cabang Julau.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 11:34am
d