mutakhir

Wang UMNO: Polis ambil keterangan Ahmad Zahid

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan beliau bahawa RM116.7 juta yang dirampas di rumah yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak adalah milik parti berkenaan.

Difahamkan beliau tiba di Menara KPJ di Jalan Tun Razak, di Kuala Lumpur, kira-kira pukul 2.30 petang tadi sebelum keterangannya diambil oleh Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

Sumber polis memaklumkan soal siasat terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berlangsung selama satu setengah jam dan akan dipanggil semula jika perlu.

Pada 24 September lalu, UMNO memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan semula RM116.7 juta yang dirampas ketika serbuan polis beberapa bulan lalu.

Ketua peguam UMNO, Datuk Hariharan Tara Singh sebelum ini dilaporkan berkata kenyataan tuntutan itu dihantar kepada semua lima defendan membabitkan kerajaan pusat, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, pegawai polis yang mengetuai operasi rampasan, Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) JSJK Bukit Aman Datuk Mohd Sakri Arifin dan seorang individu bernama Rajagopal Ramadhasas.

Pada 15 Oktober lalu, kerajaan dan polis memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan itu dan meminta permohonan itu didengar sebelum pembelaan difailkan.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 11:53am
d