mutakhir

Didakwa tiga pertuduhan rogol

Oleh Muhamaad Razis Ismail

LELAKI dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap tiga tuduhan merogol remaja perempuan berusia 13 tahun, enam tahun lalu.

Tertuduh berusia 23 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang ketika kejadian berusia 17 tahun didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun ketika kejadian di rumah di Kampung Kuala Sat, Machang dan di Taman Jaza, Machang pada Julai 2012, September 2012 dan November 2012.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Memandangkan ketika kejadian tertuduh masih di bawah umur, hukuman yang akan dikenakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falena Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, Hajarul Falena tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Tertuduh bagaimanapun, tidak mengemukakan sebarang rayuan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 21 November depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 3:11pm
d