mutakhir

Peguam di kandang tertuduh [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

SEORANG peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini, bagi sembilan pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM450, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Quek Kia Ping, 32, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut kesembilan pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan sembilan dokumen iaitu 'claim form' YBGK Melaka yang setiap satunya berjumlah RM50, mengandungi butiran palsu atas perkhidmatan hearing/mitigation yang tidak dilakukannya.

Semua kesalahan dilakukan Kia Ping di pejabat YBGK Melaka yang beralamat di No 9373, Jalan Indah 1, Taman Indah Seksyen 1, Bukit Sebukor, Melaka Tengah, di Melaka, pada 13 April sehingga 23 April 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai tuntutan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Mohd Nasir menetapkan jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan selain tertuduh diperintah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 28 November depan.

Kes terbabit dikendalikan Timbalan Pendakwa SPRM, Irwan Shah Abdul Samat dan Nur Syakila Yaacob, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Azrul Zulkifli Stork.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 5:22pm
d