mutakhir

'Dapatlah RM5, pada hari jadi...'

Oleh Nadia Hamid

HANYA RM5, pendapatan yang diperoleh pemandu teksi, Ali Husin, untuk menyambut hari lahirnya ke-68, hari ini.

Jika mengambil kira purata pendapatan harian Ali sebanyak RM5 sehari, dengan waktu bekerja selama 25 hari sebulan, bermakna pendapatan bulanan beliau sekitar RM125 sahaja.

Demikian keluhan Ali, antara pemandu teksi yang berdepan masalah pendapatan serius, selepas industri pengangkutan awam, teksi bersaing dengan sistem perkhidmatan e-hailing, Grab.

Ketika ditemui NSTP, Ali, mengakui kecewa dengan pendapatan yang diperoleh beliau selepas hampir 26 tahun menghambakan diri berkhidmat sebagai pemandu teksi.

“Saya dari Cheras, berjalan (memandu) hampir 100 kilometer, tetapi hanya dapat seorang penumpang sahaja . Dapatlah RM5, untuk belanja (hari lahir) hari ini,” katanya.

Ali berkata pendapatan itu sangat jauh beza jika dibandingkan pendapatan ketika beliau memandu teksi , 26 tahun lalu, dengan purata pendapatan harian antara RM100 hingga RM180 sehari.

Dia mengakui pendapatan mula berkurang beberapa tahun lalu namun, tahun ini disifatkan sebagai paling mencabar.

“Tahun ini memang paling teruk. Ada banyak teksi yang sudah tidak mampu beroperasi, tetapi saya kena bekerja juga. Kalau tidak macam mana mahu makan? Beli barang dapur untuk anak-anak?” katanya.

Ketika ditanya kenapa tidak bertukar kepada sistem aplikasi, Ali yang menanggung empat daripada lima anak berkata, dia menghadapi kesukaran untuk menggunakan sistem itu kerana faktor usia.

Dia turut mengalami masalah kesihatan antaranya, kencing manis dan darah tinggi, yang menyebabkan beliau tidak boleh terlalu bekerja keras atau tersangkut dalam laluan trafik ekstrim.

Selain itu, Ali mengakui beliau bernasib baik kerana sudah tidak perlu menanggung hutang bayaran sewa bulanan teksi, sejak lima tahun lalu.

“Teksi sudah habis bayar. Lega sedikit. Tetapi kalau pendapatan tiada, susah juga. Sekarang orang (pengguna) tidak mahu naik teksi, mereka mahu Grab,” katanya.

Mengulas Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dengan caruman 0.2 peratus yang disifatkan boleh memberi faedah kepada pemandu teksi bekerja sendiri seperti beliau, Ali berkata, dia tidak mampu membuat caruman.

“Nak makan pun tidak cukup. Macam mana mahu bayar caruman. Mereka (Kerajaan) cakap senang suruh bayar, tetapi kita tiada duit.

“Elok juga masa sesi dialog di Langkawi, mereka marah. Sekurang-kurangnya kerajaan tahu nasib kami,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 6:25pm
d