mutakhir

Kad pengenalan rungkai misteri

Oleh Badrul Kamal Zakaria

MISTERI kehilangan seorang lelaki sejak dua tahun lalu terjawab apabila rangka manusia ditemui di kuarters kerajaan sudah lama tidak berpenghuni di Jalan Pesta, Bakri, Muar, 6.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata pihak polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan rangka manusia itu.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bersama Pasukan Forensik dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) kemudiannya ke lokasi berkenaan.

“Setakat ini tiada sebarang perlakuan berunsurkan jenayah ditemui di lokasi kejadian.

“Polis turut menemui kad pengenalan berhampiran rangka manusia berkenaan dan waris kepada individu berkaitan turut tampil dan mengesahkan kad berkenaan adalah milik ahli keluarganya yang dipercayai hilang sejak dua tahun lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zaharudin berkata, polis akan melakukan prosedur bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan pengesahan identiti mangsa.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Sehubungan itu, polis memohon kerjasama semua pihak untuk tidak menyebarkan apa jua bentuk maklumat berhubung penemuan rangka manusia terbabit bagi mengelak sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya boleh membangkitkan keresahan dan salah erti dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 1:28am
d