mutakhir

Rapat jurang pendapatan

Oleh Shahrizan Salian

Kuala Lumpur: Bajet 2019, yang akan dibentangkan pada 2 November ini dijangka memberikan perhatian kepada golongan yang lebih memerlukan bantuan, khususnya isi rumah B40, M40 dan usahawan.

Malaysia Rating Corporation Bhd (MARC) berkata, tumpuan itu adalah bersandarkan penemuan terbaru Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang mendapati jurang antara pendapatan isi rumah 20 peratus tertinggi dengan isi rumah 40 peratus pertengahan dan terbawah semakin melebar selepas krisis kewangan global, sekali mencerminkan keperluan untuk terus membantu kedua-dua kumpulan berkenaan.

Namun, bantuan kewangan kepada kumpulan berkenaan perlu dilaksanakan secara bersyarat bagi membantu mengimbangi kenaikan kos kehidupan.

“Begitu juga, subsidi pukal seperti subsidi bahan api, akan digantikan dengan bantuan yang disasarkan hanya untuk kumpulan berpendapatan rendah,” kata firma penarafan itu dalam nota penyelidikan ekonominya.

MARC berkata, Bajet 2019 dijangka akan memberikan fokus terhadap pengukuhan asas ekonomi jangka pertengahan dan panjang, dengan mengurangkan ketidakseimbangan yang terkumpul sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, keazaman kerajaan untuk menangani masalah kenaikan hutang kerajaan persekutuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini bermakna, perbelanjaan tidak diperlukan akan dibendung pada belanjawan akan datang.

“Tumpuan akan diteruskan terhadap usaha merasionalisasikan perbelanjaan operasi, yang meningkat empat peratus setahun antara 2008 hingga 2017. Dalam tempoh itu, perbelanjaan operasi sebenar secara puratanya adalah RM7.5 bilion lebih tinggi berbanding bajet asal.

“Walaupun sebahagian besar perbelanjaan operasi merangkumi emolumen, peningkatan mendadak perbelanjaan untuk pencen dan gratuiti, selain caj khidmat hutang menjelaskan lonjakan perbelanjaan operasi keseluruhan,” katanya.

Perbelanjaan pembangunan pula, kata MARC kekal kurang berkembang dalam tempoh 2008 hingga 2017, apabila meningkat hanya 0.5 peratus setahun.

Ia berkata, walaupun perbelanjaan untuk perkhidmatan ekonomi secara purata berkembang 1.4 peratus setahun, perbelanjaan untuk perkhidmatan sosial secara puratanya susut 1.1 peratus setahun sepanjang tempoh itu.

“Penurunan keseluruhan perbelanjaan pembangunan sebahagiannya mencerminkan kesukaran kerajaan untuk menjana pendapatan mencukupi bagi tujuan pembangunan, disebabkan peningkatan ketara perbelanjaan operasi,” katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 10:39am
d