mutakhir

Sekejap je dah kena cekup

Oleh Mohd Nazllie Zainul

POLIS berjaya menyelesaikan kes pecah masuk pejabat Agrobank, di Jalan Gaya, Kota Kinabalu dalam tempoh 24 jam apabila menahan suspek kes itu pada hari sama jenayah itu berlaku, kelmarin.

Suspek lelaki warga Filipina berumur 43 tahun itu berjaya ditahan pada 10.45 malam selepas polis menerima laporan daripada pegawai bank terbabit pada 6.05 pagi, hari sama.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati suspek memecah masuk premis berkenaan pada 2.04 pagi dan mencuri komputer riba.

Beliau berkata, seorang pegawai bank terbabit menyedari pejabatnya dipecah masuk berdasarkan keadaan pejabat yang berselerak.

“Selepas membuat pemeriksaan, pegawai terbabit menyedari komputer riba yang disimpan dalam pejabat itu sudah hilang dipercayai dicuri.

“Hasil risikan dan siasatan, sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan suspek pada 10.45 malam di hadapan stesen minyak Kampung Air,” katanya.

Habibi berkata hasil siasatan lanjut, suspek membawa pihak polis ke pondok pengawal keselamatan di Asia City dan merampas barangan yang dilaporkan hilang.

Katanya, antara barangan yang dirampas termasuk komputer riba jenama Sony Vaio berwarna hitam, beg galas warna biru dan sehelai baju T yang disyaki digunakan ketika kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah atau premis dan mencuri dengan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh didenda jika disabitkan kesalahan.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 11:05am
d