mutakhir

Air mata ibu tanda syukur

Oleh Suraya Roslan

Temerloh: Hanya linangan air mata dibalas wanita ini sebagai tanda terima kasih atas kunjungan dan sumbangan disampaikan menerusi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM), semalam.

Pada mulanya, rombongan TKHM sepatutnya ke rumah ibu anak empat, Samiah Rashid, 41, di Kampung Kuala Kujan di sini, untuk menyampaikan sumbangan.

Namun rombongan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh selepas dimaklumkan wanita itu dimasukkan ke wad akibat masalah kegagalan buah pinggang.

Rombongan diketuai Pengarang Eksekutif, Projek Khas NSTP, Othman Mamat bersama Ketua Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi dan ahli Kelab MTB Semantan melawat ibu kepada empat anak itu di wad sebelum ke rumahnya untuk menghantar barangan keperluan.

Samiah berkata, dia dimasukkan ke wad kelmarin untuk menjalani dialisis selepas kedua-dua buah pinggangnya disahkan mengalami kerosakan, awal bulan lalu.

“Terima kasih kepada Titipan Kasih Harian Metro yang menziarahi saya dan menyampaikan sumbangan yang begitu bermakna buat empat anak saya.

“Terus terang saya katakan, saya hidup susah hingga ada anak tidak ke sekolah berikutan tiada wang belanja,” katanya ketika ditemui di HOSHAS, semalam.

Menurutnya, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan dan bergantung sepenuhnya dengan wang itu untuk kelangsungan hidup.

“Dengan wang itulah kami hidup lima beranak hingga pernah tidak makan dan mengharapkan ihsan adik-beradik,” katanya.

Anak sulung wanita itu, Wan Nabihah Wan Mohd Rifin, 18, berkata, sejak awal Januari ibunya dimasukkan ke wad tiga kali seminggu untuk menjalani rawatan dialisis.

Berikutan itu Wan Nabihah, mengambil tanggungjawab menjaga tiga adik lain iaitu Wan Nadia Sapura, 15, Wan Mohd Haikal, 13, dan Wan Sharifah Sufia berusia tujuh tahun.

“Buat masa ini saya tidak boleh melanjutkan pelajaran atau bekerja kerana tidak ada orang menjaga adik di rumah.

“Syukur dan terima kasih atas sumbangan ini yang memang cukup bermakna buat kami terutama adik yang sudah lama tidak menjamah makanan enak,” katanya.

Sementara itu, Othman berkata, sumbangan disampaikan berbentuk barangan keperluan seperti beras, minyak dan makanan lain untuk bekalan sebulan bernilai RM500 selain wang tunai RM500.

TKHM adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Harian Metro yang dilaksanakan sejak 11 tahun lalu.

Setakat ini, lebih 1,000 keluarga miskin, murid dan pelajar yatim serta kurang berkemampuan menerima sumbangan menerusi TKHM.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 11:11am
d