mutakhir

'Insaflah wahai bapak' [METROTV]

Oleh Shaarani Ismail

SEORANG penagih yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sekitar Jelapang, Ipoh, semalam sanggup membawa anak lelakinya berusia tiga tahun meredah hujan dengan menaiki motosikal bagi mendapatkan bekalan dadah.

Anak kecil yang tidak mengetahui perbuatan salah bapanya itu mengalirkan air mata selepas melihat bapanya ditahan dan digari bersama beberapa penagih lain dalam operasi berkenaan.

Pengarah AADK Perak, Khairul Anuar Ahmad, berkata ketika bapanya ditahan, kanak-kanak itu tidak meraung, tetapi hanya diam dan mengalirkan air mata seolah-olah tahu bapanya melakukan kesalahan atau mungkin terkejut melihat bapanya tiba-tiba ditahan dan digari.

Katanya, lelaki berusia 36 tahun itu kemudian didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“AADK menghubungi isteri lelaki berkenaan memberitahu penahanan suaminya dan diminta datang mengambil anak dan motosikal suaminya di kedai di pekan Jelapang.

“Selain membawa anak kecil, terdapat seorang penagih wanita yang pernah beberapa kali ditahan cuba menyamar dengan memakai jubah berhijab dan memakai penutup muka bagi mengelirukan pegawai AADK ketika operasi.

“Bagaimanapun, tindakan wanita berusia 40an itu yang juga seorang janda berjaya dihidu selepas cuba memasuki kawasan laluan dan sarang penagih ketika operasi sedang dilakukan,” katanya.

Khairul Anwar berkata, seramai 186 individu diperiksa oleh anggota AADK dan pegawai polis dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) sepanjang operasi bersepadu itu berlangsung semalam dan berakhir hari ini.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 131 daripada mereka ditahan kerana didapati positif pelbagai jenis dadah selepas ujian saringan air kencing dijalankan.

“Antara jenis dadah digunakan penagih terbabit adalah opiat, ganja, syabu dan amphetamine selain turut merampas dadah jenis syabu, ketamine, eramine 5, mango dan ganja dianggarkan bernilai RM17,000 dalam operasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, daripada yang ditahan, 111 daripadanya adalah penagih lelaki manakala 20 lagi adalah penagih wanita yang semuanya berusia antara 14 hingga 61 tahun.

Katanya, kebanyakan penagih yang ditahan berada di port atau sarang penagih, selain itu ada penagih ditahan di kawasan yang menjadi pusat perlumbaan dan lepak mat rempit serta beberapa premis hiburan.

Katanya, AADK akan terus meningkatkan usaha membanteras dan membasmi permasalahan selain turut meningkatkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan penyalahgunaan dadah dari semasa ke semasa.

“Apa yang paling penting adalah kepekaan masyarakat setempat untuk ambil peduli dan melaporkan sebarang aktiviti membabitkan penyalahgunaan dadah di kawasan tempat tinggal mereka.

“Selain itu, mereka perlu menyalurkan maklumat berkenaan supaya tindakan membasmi penagihan dan pengedaran dadah dapat sama-sama ditangani,” katanya

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 3:33pm
d