mutakhir

Mercy Malaysia usaha pulih psikologi mangsa Palu

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

MASIH diganggu mimpi ngeri saban malam selain mengalami trauma teruk kesan tsunami serta lumpur bergerak yang meragut ribuan nyawa di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Itu antara kesan gangguan psikologi serius dialami sebahagian mangsa terutama kanak-kanak yang mendiami khemah sementara mangsa bencana itu di sekitar Sigi, Pertoba dan Balaroa di Palu.

Perkara itu dinyatakan ketua pasukan misi Mercy Malaysia ke sana, Norazam Abu Samah yang terus gigih berusaha memberi bantuan kepada penduduk Palu melalui dana disumbangkan rakyat Malaysia sejak tragedi berlaku 28 September lalu.

Menurutnya, Mercy Malaysia masih meneruskan usaha memberikan bantuan khidmat perubatan, membina tandas dan bilik air, khemah penempatan sementara yang selesa selain sumbangan kit kebersihan dan kelengkapan diperlukan untuk membolehkan mangsa membina hidup baru.

“Selain itu Mercy Malaysia turut berusaha membantu memulihkan psikologi mangsa bencana alam berkenaan terutama membabitkan golongan kanak-kanak.

“Golongan muda ini masih gagal melupakan detik cemas atau ngeri dilalui ketika bencana berlaku. Ini menyebabkan berlaku gangguan emosi dan kebimbangan berterusan walaupun keadaan sudah memasuki pasca bencana,” katanya.

Norazam berkata, pihak Mercy Malaysia berusaha menanganinya dengan mengadakan program psikososial dengan mengadakan latihan kepada 80 penuntut universiti di Institut Agama Islam Negeri, Kota Palu, sejak awal minggu ini.

“Program latihan membabitkan coping skills & child friendly space ini memfokuskan kaedah pemulihan psikologi terhadap kanak-kanak. Modul ini juga menekankan cara dan aktivitiboleh dilakukan bersama masyarakat.

“Mereka kemudian dipecahkan kepada beberapa kumpulan sebelum memberi khidmat di beberapa khemah pelarian bencana di sini. Peralatan aktiviti seperti alat tulis, permainan kanak-kanak dan alatan lain disediakan Mercy Malaysia untuk kumpulan ini,” katanya.

Mercy Malaysia minggu lalu turut menjalankan misi bantuan dengan mendirikan 115 rumah sementara membabitkan tiga lokasi sekitar Desa Tipo.

Selain rumah sementara Mercy Malaysia turut membina tandas dan bilik mandi di penempatan sementara Mercy Malaysia di Tipo mengikut keperluan jumlah pelarian bencana selain sistem bekalan air bersih membabitkan

saluran paip sepanjang dua kilometer.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 5:03pm
d