mutakhir

Terima kasih TLDM

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TINDAKAN pantas dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terjun ke laut berjaya menyelamatkan dua pemancing yang terjatuh dari bot dan hampir lemas di perairan Selat Dinding, berhampiran Jeti Dalam, Tambatan Pangkalan TLDM Lumut, malam tadi.

Dalam kejadian 8 malam itu, mangsa, Muhammad Zulhusni Mohamad, 25, dan Mohd Izman Ibrahim, 35, diselamatkan oleh Weltron Duanis dari Kapal Diraja (KD) Mahawangsa dan Jamalul Hayat A Baser dari KD Kasturi, yang masing-masing berada di kapal dan jeti ketika kejadian berlaku.

Difahamkan, dua lelaki terbabit dari Ayer Tawar dan Seri Manjung ke laut untuk memancing dan berada pada jarak kira-kira 200 meter dari KD Mahawangsa yang berada di jeti dalam Pangkalan TLDM.

Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut dalam satu kenyataan berkata, bot dinaiki dua lelaki berkenaan terbalik dan kedua-dua mangsa terjatuh selepas dipercayai dipukul ombak.

Menurutnya, petugas titian kapal yang menyedari kejadian itu terus memaklumkan kepada Pegawai Bertugas Harian yang kemudian melaporkan kepada Pusat Operasi Armada Barat.

“Dua anggota TLDM yang ketika itu berada di kapal dan jeti terus terjun ke laut dan berenang ke arah mangsa yang sedang terkapai-kapai meminta bantuan.

“TLDM melalui Pusat Operasi Armada Barat mengarahkan bot bantuan milik TLDM bergerak serta-merta ke tempat kejadian bagi membantu operasi menyelamat mangsa.

“Bot yang tiba bersama kru kemudian terus membantu anggota menaikkan mangsa ke dalam bot bantuan.

“Keempat-empat mereka selamat dibawa ke Himpitan 11 pada jam 8.20 malam,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, Mohd Izman dan Muhammad Zulhusni berada dalam keadaan stabil ketika diselamatkan dan dibawa ke Hospital Angkatan Tentera Lumut untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Panglima Armada Barat TLDM, Laksamana Madya Datuk Mohamad Adib Abdul Samad menyampaikan sijil penghargaan kepada enam anggota yang menyumbang kejayaan operasi menyelamat itu dalam satu majlis pagi tadi.

Empat lagi anggota yang menerima sijil selain dua anggota yang berenang itu ialah Pegawai Bertugas Harian, petugas titian dan dua kru bot bantuan.

Melalui kenyataan itu, Mohamad Adib menyatakan rasa bangga dan berharap supaya keberanian itu dapat dijadikan contoh dan pendorong semangat kepada semua warga TLDM untuk sentiasa proaktif dan fokus melaksanakan tugasan dan amanah dipikul.

Beliau berkata, ia juga selari dengan teras TLDM iaitu Kemuliaan, Kesetiaan, Keberanian dan Kebanggaan dengan setiap warga seharusnya sentiasa bersedia setiap masa bagi memberikan perkhidmatan dan memainkan peranan terbaik.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 5:05pm
d