mutakhir

Harapan MATTA bagi Bajet 2019

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

PERSATUAN Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berharap Bajet 2019 akan terus menawarkan pelbagai insentif dan dana untuk merangsang industri pelancongan.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, MATTA berharap kerajaan dapat mempertimbangkan insentif yang memberi manfaat cukai tanpa beban tambahan kepada Perbendaharaan, seperti elaun modal yang dipercepatkan (ACA) untuk kenderaan pelancongan, pembangunan/ peningkatan laman web serta peralatan automasi Tekonologi Komunikasi dan Maklumat (ICT).

"Insentif terbabit hanya menumpukan penjimatan cukai untuk satu tahun dan bukannya empat hingga lima tahun.

"Oleh itu tidak akan memberi kesan kepada kutipan cukai keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan kepada NSTP, hari ini.

Beliau berkata, ACA akan menggalakkan pemodenan kenderaan pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong berbelanja tinggi melalui kenderaan pelancongan yang selamat dan selesa.

"ACA untuk peralatan, perisian dan aplikasiICT akan membolehkan agensi pelancongan mengguna pakai alat teknologi dan automasi terkini untuk sektor pelancongan," katanya.

Menurut Tan, MATTA juga berharap kerajaan akan mempertimbangkan insentif dan elaun cukai untuk asas-asas pelancongan penting yang akan membawa kesan pengganda bagi industri pelancongan Malaysia, apabila kewangan awam berada pada tahap yang lebih akomodatif.

Asas pelancongan itu termasuk kenderaan pelancongan mewah, geran yang sesuai, pembangunan pelayaran dan beli-belah bebas cukai.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dijangka membentangkan bajet 2019 di parlimen pada 2 November depan.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 6:10pm
d