mutakhir

[UPDATE] Tiga jam beri keterangan

Oleh Teoh Pei Ying

DATIN Seri Rosmah Mansor serta dua anaknya, Riza Aziz dan Mohd Norashman Najib disoal siasat kira-kira hampir tiga jam oleh Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

Difahamkan, ia bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Berhad Development (1MDB).

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dan dua anaknya itu dikatakan keluar dari unit berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari menggunakan pintu belakang tanpa pengetahuan pihak media yang menunggu di lobi utama bangunan terbabit.

Difahamkan, sesi mengambil keterangan mereka untuk hari ini sudah selesai.

Terdahulu, Rosmah, Riza dan Mohd Norashman tiba di pejabat berkenaan pada jam 9.43 pagi.

Ini adalah kali pertama Rosmah dipanggil untuk mengambil keterangan oleh Unit AMLA PDRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Difahamkan, pegawai penyiasat akan mengambil keterangan Rosmah berhubung pelbagai isu berkaitan 1MDB termasuk barangan yang dirampas di hartanah milik suaminya.

Pada Mei lalu, polis membuat serbuan di enam premis dikaitkan dengan Najib dan merampas wang tunai, barang kemas serta pelbagai barangan berjenama selain dokumen.

Awal bulan ini, Rosmah didakwa dengan 17 tuduhan penggubahan wang haram dan gagal membayar cukai membabitkan jumlah RM7,097,750.

Berita berkaitan

Rosmah, dua anak selesai beri keterangan

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 6:40pm
d